TEMA : SENI DAN BUDAYA
TAJUK : SENI UNIK “BATUOK WEI ULEI DAN BATUOK KENYA” DALAM ETNIK PUNAN DI KAMPUNG PUNAN BAH 96900 BELAGA DARI TAHUN 1950 HINGGA TAHUN 2018.
PENGENALAN
Sarawak Bumi Kenyalang merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Dengan jumlah penduduk sebanyak 2.4 juta penduduk, Bumi Kenyalang sememangnya kaya dengan pelbagai hasil bumi, kehijauan dan masyarakat penduduknya yang terdiri daripada pelbagai suku dan etnik. Setiap suku mempunyai keistimewaan dan warisan budaya masing-masing yang unik. Antara etnik yang terdapat di negeri Sarawak adalah seperti Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, serta Punan. Setiap kaum mestilah ada pakaian tradisional yang tersendiri. Contohnya, kaum Melayu memakai baju Melayu dan Baju Kurung, kaum Cina memakai Cheongsam, India memakai Sari, Bidayuh memakai baju tradisional mereka sendiri, Orang Ulu memakai pakaian tradisional orang ulu manakala kaum Punan pula memakai “baju titu” bersama dengan “batuok wei ulei” ataupun “batuok kenya”. Walaupun begitu, pengkaji hanya akan memfokuskan kajian mengenai “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” sahaja. Menurut E.B Taylor dalam bukunya yang berjudul “Primitive Cultures” beliau ada mengatakan bahawa kebudayaan ialah keseluruhan yang kompleks yang terkandungnya ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum dan adat istiadat.
Umumnya, pakaian tradisional etnik Punan terdiri daripada “selayang”, “bajou titu”, “tatieng” ataupun “kekuom”, “beleseang Inuk”, “oveat peruak”, “pesan”, “avai”, “gelang beti”, “batouk wei ulei” dan “batuok kenya”. Namun begitu, pengkaji hanya memilih untuk melakukan kajian ke atas “Batuok wei ulei” dan “Batuok Kuli” sahaja. Hal ini kerana, kajian mengenai kedua-dua aksesori tradisional ini belum pernah dilakukan. “Batuok” dalam bahasa Punan merujuk kepada topi, “wei” bererti rotan dan “ulei” pula membawa maksud kepada tulisan ataupun ukiran. Jadi “batuok wei ulei” bererti topi yang diperbuat daripada rotan yang mempunyai ukiran. “batuok kenya” pula asalnya bukan milik suku kaum Punan tetapi milik suku kaum Kenyah. Namun percampuaran budaya telah menyebabkan berlakunya percampuran pakaian tradisional antara kaum. Nama “kenya” yang terdapat pada “batuok kenya” itu sendiri sudah merujuk kepada etnik Kenyah. Kedua-dua topi ini merupakan tinggalan yang berharga oleh nenek-moyang kita yang terdahulu. Kemunculan kedua-dua topi tidak diketahui bila tahunnya. Apabila ditanya bila tahun kemunculan kedua-dua topi ini, penduduk hanya menjawab ; “topi tersebut sudah lama digunakan oleh nenek moyang yang terdahulu. Pemakaiannya sudah ada sebelum kami lahr lagi”. Oleh hal demikian, pengkaji membuat keputusan untuk membuat kajian dalam tempoh 68 tahun iaitu bermula dari tahun 1950 sehingga tahun 2018.
ISI-ISI
“Batuok wei ulei” dan “batuok kenya” merupakan salah satu aksesori yang dipakai bersama dengan pakaian tradisional oleh etnik Punan. Tanpa aksesori ini, maka tidak lengkaplah pakaian tradisional yang dipakai tersebut. Aksesori ini amat signifikan dengan etnik Punan kerana bentuknya yang amat berbeza daripada topi tradisional etnik lain. “Batuok wei ulei” merupakan topi yang dipakai oleh golongan wanita kaum Punan. “Batuok wei ulei” dikatakan berbeza daripada aksesori topi kaum lain kerana reka bentuknya yang sangat ringkas dan kemas. “Batuok wei ulei” ini berbentuk bulat dan dihasilkan mengikut lilitan saiz kepala kepada individu yang memakai topi tersebut. Lebar bagi “batuok wei ulei” ini biasanya berukuran antara 2 cm hingga 2.5 cm. Namun pada zaman kini, lebar bagi topi ini dibuat adalah 3 cm hingga ke 3.5 cm. “Batuok wei ulei” ini biasanya mempunyai gabungan dua warna sahaja iaitu warna hitam dan coklat gelap. Topi ini juga mempunyai filamen yang berbentuk cembung seperti misai seekor kucing. Ujuran filamen ini dikenali sebagai “ube” ataupun lebih dikenali sebagai bunga kepada “batuok wei ulei”. Panjang filamen ini biasanya 4 cm ataupun lebih mengikut kesusaian panjang yang diinginkan. Walaupun “batuok wei ulei” ini dikategorikan sebagai topi, namun rekaan topi ini direka tidak menutupi keseluruhan bahagian kepala pemakai. “Batuok wei ulei” hanya menutup bahagian tepi kepala pemakai iaitu pada dahi iaitu bahagian atas paras telinga.
Manakala, “batuok kenya” pula dipakai oleh golongan lelaki. “Batuok kenya” pula sangat berbeza rekaannya daripada “batuok wei ulei” kerana topi ini direka untuk menutup keseluruhan kepala pemakai. Reka bentuk topi ini menyerupai rekaan bentuk sebuah kubah dengan terdapat satu lubang kecil yang dibuat tepat di tengah-tengah topi tersebut. Diameter lubang kecil tersebut adalah sepanjang 1 cm hingga 1.5 cm. Di bahagian depan dan belakang topi ini terdapat dua unjuran yang menyerupai ekor burung kenyalang. Kedua-dua unjuran ini bertindih antara satu sama lain. Perbezaan jarak antara kedua-dua unjuran ini ialah 4 cm hingga 4.5 cm. Berbeza dengan “batuok wei ulei”, “batuok kenya” berwarna putih dan terdapat lebih banyak hiasan padanya. Pada bahagian belakang “batuok kuli” terdapat tiga pasang bulu burung merak. Bulu burung merak ini boleh digantikan dengan bulu burung kenyalang dengan jumlah yang sama banyak iaitu sebanyak tiga pasang. Tiga pasang bulu merak ataupun bulu burung kenyalang itu tidak wajib dipasang pada “batuok kuli”. Oleh hal yang demikian, “batuok kenya” untuk golongan lelaki terbahagi kepada tiga jenis iaitu; “batuok kenya” biasa, “batuok kenya” hiasan bulu merak dan “batuok kenya” hiasan bulu kenyalang.
Penghasilan bagi kedua-dua topi ini amat mudah dilakukan jika seseorang individu itu arif dengan cara penghasilannya. Namun, bagi individu yang baru ingin berjinak dengan kedua-dua aksesori ini, agak susah untuk mereka menghasilkannya. Bagi menghasilkan “batuok wei ulei”, seseorang individu itu hendaklah mahir dalam melakukan anyaman rotan. Hal ini dikatakan demikian kerana, “batuok wei ulei” diperbuat daripada rotan yang sudah diolah untuk mendapatkan permukaan yang rata dan halus. Rotan yang masih berbentuk batang dengan panjang 6 meter hingga 10 meter panjang masih sangat basah. Jadi, proses pertama dalam menghasilkan “batuok wei ulei” adalah dengan menjemur batang-batang rotan sehingga agak kering. Hal ini bagi memudahkan proses perendaman rotan dengan pewarna yang disukai. Namun biasanya warna yang dipilih ialah warna coklat muda kekuningan. Rendaman rotan ini mengambil masa 3 hingga 4 jam. Selepas rotan melalui proses rendaman, rotan akan dikeringkan semula dengan kaedah pengeringan di bawah cahaya matahari sehingga betul-betul kering. Ini bagi memudahkan proses pengupasan kulit rotan tersebut.
Selepas dikeringkan selama 10-15 hari, rotan sudah boleh dibelah bagi mendapatkan permukaan yang rata, nipis, dan halus. Pada peringkat ini, rotan yaang sudah dibelah boleh digunakan untuk membuat “batuok wei ulei”. Bagi menghasilkan topi ini, rotan yang sudah dibelah perlu dipotong mengikut panjang kesusaian diameter kepala kepada pemakai. “Batuok wei ulei” dianyam dengan begitu halus dan teliti. “Batuok wei ulei” ini sangat lembut dan mudah dibentuk oleh kerana rotan yang digunakan untuk membentuk topi ini sangat nipis dan halus. “Batuok wei ulei” sangat ringan dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Sifatnya yang fleksibel menyebabkan topi ini mudah untuk diselitkan di ruang yang kecil. Namun, seboleh-bolehnya elakkan daipada menyelitkan topi ini ke dalam ruang yang kecil kerana bentuknya akan berubah.
“Batuok wei ulei” ini juga boleh didapati dengan warna hitam dan coklat kekuningan selain daripada gabungan warna hitam dan coklat gelap. “Batuok wei ulei” ini kurang memerlukan banyak hiasan padanya. “Batuok wei ulei” tidak memerlukan lukisan padanya kerana corak yang ada pada topi tersebut terhasil dengan sendirinya semasa proses penganyaman topi tersebut. Corak yang muncul pada topi tersebut berpunca akibat daripada warna rotan yang sudah diwarna dengan warna hitam dan coklat gelap terlebih dahulu sebelum proses penganyaman berlaku. Namun begitu, corak pada “batuok wei ulei” ini boleh dibentuk dan direka. Antara anyaman yang digilai ramai golongan wanita masyarakat Punan pada topi ini ialah anyam “bunut”. Ramai yang berpendapat bahawa anyaman “bunut” ini lebih cantik dan menarik. Antara contoh lain bagi anyaman yang ada pada “batuok wei ulei” ialah “ulei penganien”. Ianya diberi nama “ulei penganien” kerana corak anyaman tersebut seakan-akan menyerupai corak pada seekor ular sawa.
Penghasilan bagi “batuok kenya” juga sama dengan cara penghasilan “batuok wei ulei”. Namun jika dilihat dengan lebih teliti, struktur “batuok kenya” yang dipakai oleh golongan lelaki ini lebih keras dan kukuh jika dibandingkan dengan “batuok wei ulei” yang mempunyai struktur yang lembut. Tidak dapat dinafikan bahawa reka bentuk “batuok kuli” lebih rumit jika dibandingkan dengan “batuok wei ulei”. Rotan yang digunakan untuk menghasilkan “batuok kuli” lebih tebal dan susah untuk dibentuk serta penghasilannya mengambil masa yang lebih lama berbanding dengan penghasilan “batuok wei ulei”
Selepas “batuok kenya” ini siap dianyam, topi ini perlu diwarna dengan warna putih. Keseluruhan bahagian “batuok kenya” ini perlu diwarna dengan warna putih termasuk bahagian dalam topi tersebut. Pada masa ini, terpulang kepada si pemakai untuk meletakkan ukiran pada “batuok kenya”. Kebiasaannya, úkiran yang diletakkan pada “batuok kenya” ialah lukisan burung kenyalang yang melambangkan lambang negeri Sarawak. Hiasan seperti manik-manik halus juga boleh diletakkan pada “batuok kenya” untuk mencantikkan lagi topi tersebut. Manik-manik tersebut boleh ditampal pada “batuok wei ulei” dengan menggunakan tali joran yang lut sinar untuk menjahit manik-manik ini.
Selain itu, “batuok kenya” juga boleh dihiasi dengan bulu-bulu halus berwarna putih bagi menyerlahkan lagi kecantikkan topi tersebut. Antara warna lazim yang terdapat pada “batuok kenya” ialah warna hitam, merah, putih dan kuning. Warna-warna tersebut sangat sinonim dengan masyarakat Punan di Kampung Punan Bah. Oleh itu, maka tidak hairanlah, warna-warna ini digunakan untuk mengahiasi “batuok kenya” ini.
Manusia sejak dahulu lagi telah lama berusaha untuk memperbaiki mutu pakaiannya dengan menggunakan bahan-bahan yang difikirkan dapat memberi keselesaan kepada pemakainya. Selain itu eksplorasi teknik penghasilan juga dilakukan pada bahan-bahan yang difikirkan dapat memenuhi fungsi yang dikehendaki. Dalam sejarah perkembangan berpakaian yang ditulis oleh Daniel Giplin (2004, 75) dalam bukunya History of Invention, food and clothing, beliau ada menjelaskan bahawa manusia sejak zaman dahulu telah memikirkan tentang keperluan berpakaian. Oleh itu mereka menggunakan apa yang ada di sekeliling mereka untuk dijadikan pakaian. Pakaian yang pertama digunakan oleh manusia prasejarah sekitar 40,000 tahun dahulu ialah kulit binatang buruan mereka. Ia digunakan sebagai pakaian untuk memanaskan badan dari kesejukan. Sama juga dengan bahan yang digunakan untuk menghasilkan kedua-dua topi ini. Bahan yang digunakan untuk menghasilkan topi ini berubah mengikut peredaran zaman.
Oleh hal yang demikian, perubahan corak hidup dan persekitaran dalam sesuatu masyarakat telah memungkinkan penciptaan pakaian yang bersesuaian dengan persekitarannya. Penggunaan bahan bagi menghasilkan “batuok kenya” turut berubah semenjak dunia mengalami era globalisasi.. Walaupun begitu, bagi “batuok wei ulei”, bahan yang digunakan untuk menghasilkan topi ini masih tetap sama walaupun dunia bertambah semakin maju. Ia masih mengekalkan keasliannya dengan tetap menggunakan rotan untuk menghasilkannya.
Berbeza pula dengan “batuok kenya” bahan yang digunakan untuk menghasilkannya sudah berubah. Kebanyakan “batuok kenya” yang dihasilkan sekarang adalah menggunakan tali plastik yang lebih keras berbanding dengan rotan. Namun begitu, penghasilan “batuok kenya” dengan menggunakan masih dipelihara hingga kini. Hal ini kerana, masih ramai individu memilih untuk mengekalkan keunikan yang terdapat pada kedua-dua topi ini.
“Batuok kenya” sebenarnya berasal daripada kaum Kenyah. Walaupun “Batuok kenya” berasal daripada suku kaum di Kampungkerana terdapat percampuran budaya. Segelintir masyarakat Punan mencampur adukkan reka bentuk “batuok kenya” ini untuk menghasilkan “batuok kenya” yang lebih cantik dan menarik lagi.
Pemakaian “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” dalam kalangan wanita dan lelaki masyarakat Punan bergantung kepada sesuatu keramaian yang diadakan. Wanita kaum Punan kurang menggunakan manik dan labuci sebagai penyeri pakaian. Hal ini dikatakan demikian kerana, pakaian tradisional etnik Punan sangatlah ringkas.
Biasanya, “batouk wei ulei” dan “batuok kuli” akan dipakai semasa sesuatu pesta atau keramaian diadakan. Keindahan pakaian seseorang individu itu melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya. Biarpun arus kemodenan yang melanda dunia fesyen tempatan, pakaian tradisional khususnya “batuok wei ulei” dan “batuok kuli” tetap teguh meskipun penggunaannya pada masa kini sangat sedikit bilanganya.
Dalam meniti arus kemodenan ini, pemakaian “batuok wei ulei” dan “batuok kuli” semakin berkurangan. Hampir boleh dilihat dengan mata kasar, kebanyakan individu yang masih memakai aksesori tradisional ini hanyalah golongan yang berusia sahaja. Jika dibandingkan pada tahun 60-an dahulu, masih ramai individu yang mengenakan “batuok wei ulei” dan “batuok kuli” ini. Penggunaan kedua-dua barang aksesori ini boleh dilihat semasa majlis perkahwinan dan majlis-majlis tertentu serta semasa sambutan menyambut kedatangan para tetamu kehormat yang datang melawat ke kampung.
“Batuok wei ulei” dipakai oleh golongan wanita etnik Punan semasa mereka sedang menari tarian ngajat, “Su’e”, ataupun “Kesut”. Menurut pemakai, penggunaan “batuok wei ulei” akan menyerlahkan lagi kecantikan yang ada pada diri mereka. Mereka berasa diri sangat cantik. Pemakai akan berasa lebih yakin dan berani sekiranya mereka memakai “batuok wei ulei”. Pemakaian “batuok wei ulei” ini tidak hanya untuk golongan wanita yang sudah dewasa, tetapi juga boleh dipakai oleh golongan kanak-kanak. “Batuok wei ulei” ini dipakai semasa hari perayaan dan pesta menuai. “Batuok wei ulei” ini juga dipakai semasa sambutan menyambut para tetamu kehormat yang datang melawat kampung.
Semasa majlis perkahwinan pula, pengantin wanita juga boleh mengenakan “batuok wei ulei” selepas majlis perkahwinan mereka. Topi yang dikenakan oleh pengantin wanita semasa hari perkahwinan mereka adalah berbeza dengan “batuok wei ulei” yang biasa digunakan pada hari biasa ataupun pada hari-hari penting.
Cara pemakaian “batuok wei ulei” ini turut mempunyai etika yang tersendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana, “ube” yang terunjur keluar yang menyerupai misai kucing pada “batuok wei ulei” ini perlu terletak tepat di atas mata kanan pemakai jika unjuran itu mengarah ke kanan. Sebaliknnya jika unjuran filamen atau “ube” itu menghala ke kiri, maka unjuran “ube” itu perlu dihalakan ke kiri sebaris dengan mata kiri pemakai ataupun sebaris dengan paras telinga pemakai. Pada zaman sekarang, “batuok wei ulei” ini sering dipadankan dengan penggunaan baju kebaya nyonya. Wanita masyarakat Punan akan memakai “batuok wei ulei” ini untuk berhias.
Manakala, bagi golongan lelaki pula “batuok kenya” akan dipakai semasa mereka sedang melakukan tarian ngajat lelaki, upacara bungan atau pada hari keramaian. Sama seperti golongan wanita, “batuok kenya” akan membuatkan pemakai berasa lebih yakin. Ianya juga boleh dipakai leh golongan kanak-kanak dan tidak terhad kepada orang dewasa sahaja. Bagi penggunaan “batuok kenya” yang mempunyai tiga pasang bulu merak, ianya dipakai semasa pemakai melakukan persembahan tarian ngajat dikhalayak ramai. Semasa melakukan tarian ngajat ini, pemakai akan memakai “batuok kenya” yang dipadankan dengan pakaian tradisional Punan untuk kaum lelaki.
Di samping itu, “batuok kenya” yang mempunyai tiga pasang burung merak di bahagian belakang boleh juga dipakai semasa majlis perkahwinan yang sedang berlangsung. Pada waktu itu, “batuok kenya” ini akan dihias dengan bulu-bulu binatang buruan yang berwarna putih bersama dengan gigi taring binatang buruan. Pemakai “batuok kenya” kelihatan segak apabila mengenakan topi berkenaan. Penggunaan “batuok kenya” burung merak ini hanya sesuai untuk keramaian tertentu sahaja. Manakala, bagi “batuok kenya” yang dihias dengan bulu burung kenyalang pula lazimnya dipakai semasa mereka mengadakan upacara bungan selepas musim menuai habis. Penggunaan “batuok kenya” tanpa apa-apa hiasan boleh dipakai semasa upacara bungan.
Pemakaian pakaian tradisional masyarakat Punan memberi impak kepada masyakat Punan itu sendiri. Pemakaian pakaian tradisional seperti “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” ini memberi impak yang besar dalam menjaga hubungan baik masyarakat Punan. Pemakaian “batuok wei ulei” atau “batuok kenya” ini mampu mengeratkan perpaduan dan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Punan. Hal ini dikatakan demikian kerana, semasa hari perayaan “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” ini akan dipakai. Mereka akan duduk dalam satu kumpulan dan bersembang antara satu dengan yang lain.
Selain itu, pemakaian topi ini juga akan melambangkan identiti masyarakat Punan. Amalan pemakaian topi ini melambangkan siapa kita. Jadi amatlah penting untuk kita meneruskan amalan ini kerana jika tidak diteruskan, amalan ini akan hilang ditelan peredaran zaman. Amalan ini perlu dipelihara agar generasi yang akan datang juga mengetahui amalan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita yang terdahulu. Pakaian tradisional seperti “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” merupakan sebahagian daripada budaya kita yang sangat bernilai. Maka ianya amat penting untuk kita menjaga dan memelihara amalan pemakaian “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” ini.
Di samping itu, pemakaian kedua-dua topi ini memberi impak kepada golongan generasi muda dari aspek pemahaman mereka mengenai pakaian tradisional masyarakat Punan. Golongan muda mengetahui bahawa penggunaan “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” ini merupakan kesinambungan tamadun atau asal usul mereka dari dulu lagi. Melalui pakaian tradisional ini, generasi muda mengetahui asal usul mereka. Dengan ini, mereka tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, sedar akan tentang kesulitan hidup masyarakat Punan dahulu.
Pendedahan anak-anak muda kepada pakaian tradisional ini turut memberi impak yang positif kepada masyarakat Punan. Hal ini dikatakan demikian kerana, golongan muda ini akan membesar dengan menyayangi budaya nenek moyang. Mereka akan lebih mengenali sejarah salasilah sejarah keluarga mereka dengan lebih mendalam. Pendedahan kepada budaya pemakaian pakaian tradisional khususnya “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” kepada golongan muda sejak dari usia yang muda akan memberi peluang yang besar untuk budaya pemakaian pakaian tradisional akan tetap kekal pada masa yang datang.
PENUTUP
Kesimpulannya, “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” dalam masyakat Punan masih terjamin walaupun jumlah individu yang memakai topi-topi berkenaan hanya sedikit. “Batuok wei ulei” dan “batuok kenya” masih mendapat tempat di hati masyarakat Punan. Budaya memakai pakaian tradisional haruslah diteruskan agar tidak hilang ditelan zaman. Janganlah hanya membiarkan kebudayaan kita hanya dipertontonkan di muzium sahaja. Tetapi hidupkanlah kembali budaya tempatan supaya budaya tersebut terus subur meredah peredaran zaman.
TEMA : SENI DAN BUDAYA
TAJUK : SENI UNIK “BATUOK WEI ULEI DAN BATUOK KENYA” DALAM ETNIK PUNAN DI KAMPUNG PUNAN BAH 96900 BELAGA DARI TAHUN 1950 HINGGA TAHUN 2018.
PENGENALAN
Sarawak Bumi Kenyalang merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Dengan jumlah penduduk sebanyak 2.4 juta penduduk Bumi Kenyalang sememangnya kaya dengan pelbagai hasil bumi, kehijauan dan masyarakat penduduknya yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik. Setiap suku mempunyai keistimewaan dan warisan budaya masing-masing yang unik. Antara etnik yang terdapat di negeri Sarawak adalah seperti Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, serta Punan. Setiap kaum mestilah ada pakaian tradisional yang tersendiri. Contohnya, kaum Melayu memakai baju Melayu dan Baju Kurung, kaum Cina memakai Cheongsam, India memakai Sari, Bidayuh memakai baju tradisional mereka sendiri, Orang Ulu memakai pakaian tradisional orang ulu manakala kaum Punan memakai “bajou Titu” bersama dengan “batouk wei ulei” ataupun “batuok kenya”. Walaupun begitu, pengkaji hanya akan memfokuskan kajian mengenai “batuok wei ulei dan batuok kenya” sahaja. Menurut E.B Taylor dalam bukunya yang berjudul “Primitive Cultures” beliau ada mengatakan bahawa kebudayaan ialah keseluruhan yang kompleks yang terkandungnya ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum dan adat istiadat.
OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk mengetahui ciri-ciri morfologi “batuok wei ulei dan batuok kenya” dalam kalangan etnik punan di Kampung Punan Bah serta perbezaan antara kedua-dua aksesori ini bagi golongan wanita dan lelaki.
Selain itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji proses penghasilan topi “batuok wei ulei dan “batuok kenya” di Kampung Punan Bah dan bahan yang digunakan untuk menghasilkannya.
Seterusnya, kajian ini dibuat bertujuan untuk mengkaji keunikan pemakaian topi “batuok wei ulei dan batuok kenya” dalam kalangan wanita dan lelaki etnik Punan di Kampung Punan Bah Belaga.
Akhir sekali, kajian ini untuk mengkaji samaa ada adat pemakaian topi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” memberi impak dalam masyarakat Punan.
PERMASALAHAN KAJIAN
Permasalahan kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti sejarah “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” dalam kalangan etnik Punan di Kampung Punan Bah. Melalui kajian ini, pengkaji dapat mengenal pasti sejarah topi tradisional ini dalam masyarakat etnik Punan.
Selain itu, kajian ini dilaksanakan untuk mengkaji proses penghasilan “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” di Kampung Punan Bah dan bahan yang digunakan untuk menghasilkannya. Malalui kajian ini, pengkaji boleh mengenal pasti cara topi ini dihasilkan dan bahan yang akan digunakan bagi menghasilkan topi ini.
Di samping itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti perbezaan antara “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” bagi golongan lelaki dan wanita. Melalui kajian ini, Pengkaji akan mengetahui perbezaan antara topi “batuok wei ulei dan batuok kenya” untuk golongan lelaki dan wanita.
Kajian ini digunakan untuk mengkaji keunikan pemakaian topi “ulei” dalam kalangan wanita dan lelaki etnik Punan di Kampung Punan Bah Belaga. Melalui kajian ini, pengkaji boleh mengetahui keunikan pemakaian “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” kepada individu yang memakainya.
Akhir sekali, kajian ini untuk mengkaji sama ada adat pemakaian topi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” ini memberi impak dalam masyarakat Punan. Melalui kajian ini, pengkaji dapat mengetahui serta menilai sejauh manakah pengekalan pemakaian pakaian tradisional ini memberi impak kepada masyarakat Punan.
SKOP KAJIAN
Skop kajian dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu tempat kajian, tempoh kajian dan isu kajian yang ingin dikaji. Dari segi tempat kajian, pengkaji memfokuskan tempat kajian di kampung Punan Bah. Kampung Punan Bah terletak jauh di kawasan pedalaman daerah Belaga. Dari segi tempoh kajian, pengkaji memilih untuk melakukan kajian selama 68 tahun bermula dari tahun 1950 hingga 2018 yang mempunyai nilai sejarah yang tersendiri. Dari segi isu kajian, pengkaji ingin mengkaji tentang seni unik “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” dalam kalangan etnik Punan di Kampung Punan Bah.
SOROTAN KAJIAN LEPAS
Secara umumnya, terdapat banyak kajian yang dijalankan berkenaan dengan pakaian tradisional di Malaysia khususnya di Sarawak yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Namun begitu, kajian yang dijalankan hanyalah tertumpu kepada etnik-etnik majoriti seperti kaum Melayu, Cina, India, Malanau, Bidayuh, Iban, Kenyah dan Kayan dan bukannya etnik minoriti seperti etnik Punan. Kajian mengenai “batuok wei ulei dan batuok kenya” etnik Punan belum pernah dilakukan lagi. Oleh hal yang demikian, pengkaji memilih untuk melakukan kajian berkaitan dengan “batuok wei ulei dan batuok kenya”.
KAEDAH KAJIAN
Kaedah kajian yang digunakan untuk mendapat hasil kajian ialah kaedah penyelidikan perpustakaan, dimana pengkaji akan membuat penyelidikan dalam buku-buku, majalah, internet atau webside atau gambar yang berkaitan dengan “batuok wei ulei” dan “batuok kenya”. Selain itu, pengkaji juga akan menggunakan kaedah soal selidik iaitu dengan menemu ramah individu yang mempunyai pengetahuan mengenai “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” ini.
PEMBAHAGIAN STUKTUR ESEI
Pengenalan
Dalam bahagian ini, pengkaji akan menjelaskan ciri-ciri morfologi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” dalam kalangan etnik punan di Kampung Punan Bah. Pengkaji akan menjelaskan ciri-ciri morfologi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” secara lebih terperinci.
ISI-ISI
Dalam bahagian ini, pengkaji akan menerangkan mengenai proses penghasilan topi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” di Kampung Punan Bah dan bahan yang digunakan untuk menghasilkannya. Pengkaji turut akan menyatakan perbezaan antara “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” untuk golongan lelaki dan wanita. Pengkaji juga akan menjelaskan keunikan pemakaian topi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” dalam kalangan wanita dan lelaki etnik Punan di Kampung Punan Bah Belaga serta menilai bagaimana adat pemakaian topi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” ini memberi impak dalam masyarakat Punan.
PENUTUP
Dalam bahagian ini, pengkaji akan memberikan rumusan secara keseluruhan mengenai kajian “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” yang telah dilakukan.
RUMUSAN KAJIAN
Secara keseluruhannya, kajian ini dijalankan bertujuan bagi mencapai objektif kajian ; iaitu untuk mengenal pasti sejarah “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” dalam kalangan etnik Punan di Kampung Punan Bah. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji proses penghasilan topi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” di Kampung Punan Bah dan bahan yang digunakan untuk menghasilkannya. Di samping itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti perbezaan antara “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” golongan lelaki dan wanita. Akhir sekali, kajian ini digunakan untuk mengkaji keunikan pemakaian topi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” dalam kalangan wanita dan lelaki etnik Punan di Kampung Punan Bah Belaga serta menilai bagaimana adat pemakaian topi “batuok wei ulei” dan “batuok kenya” ini memberi impak dalam masyarakat Punan. Oleh itu, secara amnya, objektif kajian telah tercapai.
No comments:
Post a Comment